Teluk Intan...bandar lama dalam negeri Perak Darul Ridzuan kini semakin pesat membangun. Terletak di dalam daerah Hilir Perak, Teluk Intan terus berkembang dengan pesatnya. Asalnya nama lama bagi Teluk Intan ialah Teluk Mak Intan bagi mengenang sejarah awal penerokaan Teluk Intan oleh seorang janda cantik kaum Mandahiling yang bernama Mak Intan. Apabila British menjajah Tanah Melayu, namanya diubah kepada Teluk Anson sempena dengan nama pemangku Gabenor Negeri Selat ialitu General Sir Archibald Edward Harbord Anson (1826 – 1925). Namun demikian pada tahun 1982, atas cadangan dan perkenan DYMM Almarhum Sultan Idris II nama Teluk Anson telah dimansuhkan dan diganti dengan nama Teluk Intan. Malahan nenek saya yang berasal dari Batak Rabit ( dalam kawasan Teluk Intan ) ketika hayatnya tetap menyebut nama lama Teluk Intan iaitu Teluk Anson.

Dahulunya, bandar ini merupakan bandar pelabuhan utama bagi negeri Perak Darul Ridzuan. Sungai Perak yang luas dan dalam membolehkan kapal-kapal besar melaluinya untuk sampai ke pelabuhan Teluk Intan. Dahulunya pelabuhan Teluk Intan merupakan sebuah pelabuhan yang sibuk. Banyak kapal-kapal besar singgah membawa barang-barang seperti bijih timah dan getah. Malahan pelabuhan Teluk Intan dikatakan jauh lebih penting dari pelabuhan Pulau Pinang pada ketika itu. Namun kini ianya tinggal kenangan sahaja. Teluk Intan bukan lagi sebuah pelabuhan. Kapal-kapal besar sudah tidak lagi berlabuh disini. Ianya hanya menjadi sebuah kenangan yang indah bagi warga emas di Teluk Intan.

Pelabuhan Teluk Intan ( Teluk Intan Wharf )yang lama kini


Sebuah pelabuhan baru bagi menggantikan pelabuhan lama telah dibina. Namun ianya sunyi. Ia terletak di pinggir bandar Teluk Intan jika tidak silap saya di kawasan Pasir Bedamar. Kunjungan saya baru-baru ini ke pelabuhan berkenaan menunjukkan tiada tanda-tanda ia beroperasi dengan baik. Ia sebuah pelabuhan kecil yang kusam dan usang.

Pelabuhan Teluk Intan kini

Sunyi dan sepi

Ketika pemerintahan Sultan Iskandar Shah, Teluk Intan telah diishtiharkan sebagai sebuah bandar diraja. DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan akan bersemayam di Teluk Intan. Sehingga kini, statusnya sebagai bandar diraja masih kekal walaupun DYTM Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah tidak bersemayam di Teluk Intan. Bukti yang menunjukkan Teluk Intan sebagai sebuah bandar diraja ialah kewujudan sebuah istana yang dikenali sebagai Istana Raja Muda. Dahulunya, setiap Raja Muda haruslah bersemayam di istana ini. Namun kini sejak tahun 1988, Istana Raja Muda yang penuh bersejarah ini telah ditinggalkan sepi. Raja Muda terakhir yang bersemayam disini ialah Almarhum DYTM Raja Ahmad Siffudin Ibni Sultan Iskandar.

Gambar lama Istana Raja Muda Teluk Intan

Istana Raja Muda Teluk Intan kini terbiar

Istana Raja Muda dari pandangan hadapan


Pemandangan didalam Istana Raja Muda

Anjung Masuk Pintu Utama

Apa yang menarik perhatian saya ialah kualiti binaan istana ini. Difahamkan istana ini dibina pada tahun 1920an. Namun ia masih teguh walaupun telah lama terbiar tanpa sebarang pemuliharaan. Saya menjumpai cebisan atap istana ini di lantainya. Dari tulisan yang terukir di cebisan atap berkenaan jelas kelihatan bahawa ianya diperbuat di Britain.

Perhatikan tulisan pada cebisan atap Istana Raja Muda
yang tertulis perkataan Britain.

Ayah saya pernah menceritakan bahawa Raja Muda Musa Ibni Sultan Abdul Aziz semasa bersemayam di Teluk Intan bersahabat dengan moyang beliau yang digelar Opah Besar. Ketika itu ayah tinggal di Kampung Jong Buruk di persisir Sungai Perak berdekatan dengan Teluk Intan. Opah Besar merupakan orang tua yang menjadi kepala di kampung berkenaan. Armarhum sering berkunjung ke Kampung Jong Buruk untuk bertemu dengan Opah Besar semasa baginda melakukan aktiviti menuba ikan. Baginda merupakan Raja Muda yang paling disayangi oleh rakyat Perak Darul Ridzuan. Benar atau tidak cerita ini Wallahualam.

Semasa saya masih kecil, masih terdapat perkhidmatan keretapi di Teluk Intan. Mengikut sejarahnya, landasan ini telah dirasmikan pada 18 Mei 1883. Landasan keretapi Teluk Intan bermula dari Tapah Road dan melalui beberapa lokasi seperti Degong, Chikus, Sungai Tukang Sidin, Permatang, Sungai Kerawai, Sungai Manik, Teluk Anson Town dan Wharf Teluk Intan. Namun demikian, seiiring dengan perkembangan masa perkhidmatan keretapi di Teluk Intan telah ditamatkan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB ) pada tahun 1989. Ini berikutan oleh beberapa sebab seperti penumpang yang sudah semakin berkurang, pelabuhan Teluk Intan yang semakin kurang penting serta perkembangan jalan raya yang sudah semakin baik.

Sebuah gambar lama yang menjadi bukti kepada
sejarah lama perkhidmatan keretapi di Teluk Intan.

Walaupun demikian, beberapa tinggalan perkhidmatan keretapi di Teluk Intan masih boleh dilihat dan dikekalkan. Saya dapat melihat beberapa tinggalan penting sejarah perkhidmatan keretapi di Teluk Intan. Antaranya ialah bangunan stesen keretapi Teluk Intan yang kini dijadikan sekolah memandu. Pintu pagar lintasan keretapi dengan jalan raya menuju ke Bidor juga masih boleh dilihat. Saya juga sempat menjejaki tinggalan landasan di Chikus. Namun demikian, saya tidak dapat meramal berapa lamakah tinggalan-tinggalan bersejarah ini mampu bertahan mendepani cabaran kemodenan yang makin mencengkam.

Bangunan Stesen Keretapi Teluk Intan yang kini dijadikan
sekolah memandu


Papan tanda stesen keretapi Teluk Intan.
Perhatikan tulisan pada papan tanda berkenaan jelas tertulis
"TELUK ANSON TOWN"

Cebisan kayu landasan yang masih boleh dilihat

Platform stesen keretapi Teluk Intan yang masih kekal

Stesen Keretapi Teluk Intan dalam kenangan

Pagar lama landasan keretapi yang merintangi
jalan raya dari Teluk Intan ke Bidor masih dikekalkan
untuk tatapan generasi kini.

Suatu ketika dahulu keretapi pernah lalu disini

Tinggalan landasan keretapi di Chikus tidak jauh dari Teluk Intan

Semak samun menutupi bekas landasan

Ada keretapi pernah lalu disini dahulu

Cebisan kayu landasan yang usang dimamah masa

Salah satu tinggalan terunggul sejarah perkhidmatan keretapi di Teluk Intan ialah sebuah jambatan besi yang merintangi kuala Sungai Bidor. Masyarakat tempatan di sekitar Teluk Intan ( terutama di Kampung Bahagia ) memanggilnya sebagai"geghrotak". Ia merupakan sebuah jambatan keretapi klasik yang dibina oleh pihak British bagi menghubungkan landasan dari Tapah Road ke Teluk Intan. Catatan sejarah menunjukkan bahawa pembinaan jambatan ini mengambil masa selama hampir 2 tahun iaitu dari tahun 1891 hingga 1893. Bagi saya ia merupakan sebuah hasil kejuruteraan yang terhebat pada ketika itu. Setelah perkhidmatan keretapi Teluk Intan ditamatkan, landasan ini telah terbiar dan tidak digunakan lagi. Namun atas inisiatif pihak berkuasa tempatan, jambatan ini telah dibaikpulih dan dipulihara seterusnya telah diturap untuk dijadikan laluan motosikal dan pejalan kaki. Jambatan ini masih lagi digunakan oleh penduduk setempat kerana ia dapat memendekkan laluan untuk ke Teluk Intan.

Jambatan keretapi yang merintangi kuala Sungai Bidor di Teluk Intan
suatu ketika dahulu.

Jambatan Keretapi Teluk Intan kini


Panorama kuala Sungai Bidor yang mengalir lesu dari atas jambatan.

Banyak rumah-rumah kedai lama masih kekal di Teluk Intan. Berhampiran dengan jambatan keretapi lama ini kita masih boleh melihat rumah-rumah kedai kayu yang masih lagi digunakan atau telah ditinggalkan sepi. Dikawasan bandar Teluk Intan pula terutamanya berhampiran dengan persisir sungai Perak, masih boleh dilihat rumah-rumah kedai lama yang mungkin dibina sejak zaman British lagi. Walaupun bangunan-bangunan rumah kedai lama ini keliahatan usang dan sunyi namun saya yakin suatu ketika dahulu ianya pernah menjadi tempat yang meriah dengan aktiviti berjual beli.

Rumah kedai kayu lama yang tidak digunakan lagi


Rumah kedai lama pinggiran Sungai Perak di Teluk Intan

Teluk Intan juga mempunyai koleksi bangunan-bangunan lama yang begitu indah seni binaannya. Penjajahan British dan keagungannya sebagai sebuah pelabuhan pada suatu ketika dahulu menjadikannya sebuah bandar yang tersusun dan mempunyai sejumlah koleksi bangunan lama yang memukau. Antara monumen yang menjadi mercu tanda utama bandar ini sedah pastilah Menara Jam Condong Teluk Intan. Dahulu pelawat adalah tidak dibenarkan memasuki menara ini namun beberapa tahun kebelakangan ini pengunjung boleh sahaja memasuki menara ini tanpa dikenakan bayaran.

Menara jam condong Teluk Intan

Beberapa bangunan lama yang klasik juga masih boleh dilihat. Antaranya bangunan balai polis lama, bangunan bekas mahkamah dan bangunan pejabat pos Teluk Intan. Semuanya ini masih kekal walaupun sesetengahnya terbiar tanpa dipulihara. Saya sempat merakamkan beberapa buah bangunan yang pada saya mempunyai nilai estetika binaan yang tinggi.

Balai Polis lama Teluk Intan

Pejabat Pos Teluk Intan


Saya mengakui bahawa saya bukanlah anak Teluk Intan. Namun begitu jurai keturunan sebelah ayah saya adalah berasal dari kawasanTeluk Intan. Malahan Teluk Intan bukanlah sesuatu yang asing pada diri saya. Kaum kerabat sebelah ayah masih ramai disini. Pusara datuk dan nenek moyang saya juga masih ada di daerah Hilir Perak ini. Penulisan ini hanyalah sekadar perkongsian untuk kita. Jika terdapat sebarang kesalahan fakta pada penulisan ini saya mohon para pembaca yang singgah untuk memperbetulkannya. Saya hanya membuat rujukan di internet sambil dibantu oleh ingatan-ingatan lama terhadap penceritaan orang yang terdahulu kepada saya.

Teluk Intan menyembunyikan sejuta cerita lama. Cerita tentang sebuah pelabuhan yang hilang, cerita tentang landasan keretapinya yang tiada lagi, cerita tentang sebuah istana yang ditinggalkan dan pelbagai cerita yang beranting-ranting. Jika ke Teluk Intan carilah sisi lamanya yang tertinggal. Koreklah setiap inci buminya yang bersejarah dan kita akan temui erti sebenar Teluk Intan ...... sebuah bandar yang tua yang bernostalgia...
credit:indahrasajmalim

0 comments:

Post a Comment

 
Top